~ sns cerita tentang ~
Assalamua'laikum wbt
Kamar bilik sudah terpadam lampu neonnya, mata masih sukar melabuhkan tirai kelompaknya. Petang tadi, usai masak untuk makan malam terus mandi dan timbunan awan saya muncul seorang yang pernah saya rawat. Maklumlah, esok dah mula kerja setelah bercuti lama. Dan kebetulan, dah lama sangat saya abaikan label 'Physio dan Study' tu kan? Walaupun, kebanyakan entry tentang kehidupan seorang fisio ni tidaklah sebagus mana tetapi sesak pula trafik blog ni tentang perihal fisio.
Ketika di Hospital Kemaman ( Oktober 2008 - Februari 2009 ), major Neurologi dan Pediaktrik yang merupakan tempoh praktikal yang sangat-sangat tertekan dari segi mental dan emosi. Tak perlu imbas kembali sebab terlalu banyak entry pernah saya kongsikan tentang hal tu. Dijadikan cerita, penghujung 2008 datanglah seorang kakak (lingkungan umur 36tahun) dengan kerusi roda serta bertongkat di sisinya disorong oleh anak dan adik iparnya. Kebetulan saya di dalam bilik rawatan terkalis dan terpandang beliau sedang mendaftar di kaunter, tiba giliran beliau saya adalah Fisio yang 'bertuah' menerima beliau untuk dirawat.
Dalam hati, kes Ortho (Ortopedik : berkaitan otot dan skeletal), memandangkan major saya di situ adalah Neurologi dan Pediaktrik. Kalau boleh nak kurangkan kes-kes selain major tu untuk memudahkan proses presentation dan peperiksaan nanti, Dengan rela hati, saya terima saja kes ni dan mulakan proses mengutip data-data sebelum merawat. MashaALLAH, pesakit ni antara pesakit yang sangat-sangat saya banyak beristigfar panjang dalam hati. Bermula dari proses untuk memindahkan beliau dari kerusi roda ke katil, beliau langsung tak mampu untuk bangun. Bersaiz 2kali ganda dari saya ( ya, saya kan kategori renek+kemetot), saya gagahkan juga untuk membantu dia ke katil. Usai memindah, proses memeriksa bahagian yang cedera.
Kondisinya : tiada tempurung lutut kanan, edema yang kritikal serta sendi (tightness) dan bahagian paling saya 'patah hati' keadaan kebersihan pesakit ni. Bayangkan, hitam dan kotor sangat kaki kanannya dan bau tu tak perlu nak bayangkanlah. Seperti daging busuk dan bila di dalam unit rehab, amat jarang untuk memakai penutup muka. Makanya, nafas saya memang kurang dari normal. Dan paling dikesali, pesakit ni telah 6 bulan begitu sejak tarikh beliau ditimpa kemalangan dan terpaksa dibuang tempurung lutut akibat dilanggar lori sampah dan hancur tempurung.
Pada hari pertama, ketika saya buka balutan di lutut, beliau dah mula menjerit kesakitan. Dengan bau dan kotor saya terus cuci dulu lukanya sebelum teruskan untuk mengukur dan mencatat data yang sepatutnya. Target saya pada hari tu, sekurang-kurangnya pesakit tu mampu membengkokkan lutut walau 5', memandangkan lebih dari 6 bulan tak bergerak langsung kaki tu. Ternyata target saya tersasar dan gagal, pesakit tu tak mahu bekerjasama dan menangis kesakitan, hati saya pun SAKIT dengan keadaan dan kesakitan beliau tapi saya tak boleh ikutkan perasaan memanjakan beliau. Sepatutnya dalam tempoh 6 bulan ni, beliau perlu diberikan rawatan Fisio, bukan setelah 6 bulan baru datang dalam keadaan yang teruk begitu. Otot yang terlalu mengeras dan bengkak kaki yang teruk, buat saya sangat kecewa melihat beliau.
Akhirnya, setelah lebih 1 jam merawat dalam keterpaksaan memaksa pesakit, saya suruh beliau pulang dan saya beri tarikh selang sehari ( kes-kes yang perlukan rawatan kerap akan diberikan temujanji 3kali seminggu), saya nasihatkan beliau sekurang kurangnya bersihkan keadaan kaki dan lutut beliau. Sedih, sangat sedih melihat dan kecewa dengan sikap acuh tak acuh datang menerima rawatan Fisio serta tiada inisiatif mahu sembuh. Itu cabaran dan dugaan! Temujanji berikutnya, beliau datang dalam keadaan yang sama. Kondisi yang sama dan pendek kata langsung tiada perubahan hinggalah ke temujanji yang melebehi 2 minggu. Bila keadaan pesakit tidak berubah, HOD akan menilai dan kali ni dengan GAHnya saya dimarahi dan dimaki depan pesakit. Hmph, rasa strawberi bersalut coklat kut masa tu. Saya bukan seorang yang mudah menerima kemarahan dan tempelak begitu, ditahan jangan runtuh mutiara berharga. Tapi akhirnya gagal dan tumpah juga bila pulang ke rumah (waktu mandi di shower, mengalirlah air mata bersama jatuhan air-air di paip). Saya fikir, bagaimana caranya lagi nak bantu pesakit ni. Saya dah cuba pelbagai usaha, tapi pesakit saya sangat-sangat low self-esteem! Remuk hati saya dengan pesakit macam ni.
Temujanji berikutnya, saya duduk di tepi dan sembang-sembang dengan beliau. Dengan nada yang tenang dan tegas, saya mahukan perubahan dari beliau, samada rela atau tidak saya akan cuba juga untuk menggerakkan lutut beliau. Tiada kompromi raungan sakit, saya tetap akan lakukan dan capai target saya pada hari tu. Alhamdulillah, berjaya dan sedihnya temujanji berikutnya beliau tak datang selama 2hari berturut-turut, pilu hati saya. Tapi saya tetap berharap beliau akan datang. Dan alhamdulillah, minggu berikutnya beliau hadir dan saya teruskan misi dan kali ni mahu ajar beliau bertongkat dan alhamdulillah akhirnya misi saya memang tercapai hingga hari terakhir saya di Hospital Kemaman. Walaupun saya tamat praktikan di situ, sekurang-kurangnya saya mampu melihat beliau bertongkat. Bukan mudah menaikkan self esteem serta perasaan negatif seseorang. Saya tinggalkan beliau dalam keadaan yang mampu bertongkat dari masuk ke kawasan rehab hingga pulang dari seorang yang takut untuk berdiri dan tak mahu disentuh kaki. Syukur....
Selang beberapa bulan, dalam bulan Oktober 2009 setelah hampir sebulan tamat pengajian, ketika di kampung saya bersama mak dan abah menontot TV3, slot Bersamamu. Ya Allah, terkejut saya melihat, beliau adalah orang yang ditemubual pihak Bersamamu kerana keadaan yang dhaif. Terus saya teringat mengapa keadaan beliau sangat kurang bersih dan tak terurus. Lebih rasa bersalah, saya selalu meninggikan suara (seakan marah) bila beliau sangat negatif dan datang dalam keadaan yang kurang bersih. Malahan selama saya merawat, saya tak pernah tanya tentang kebajikan (kewangan) beliau, itu kesalahan yang besar saya telah lakukan. Melihatnya di tv benar-benar memberi kesan kepada saya. Sejak itu, saya lebih prihatin kepada pesakit dan keadaan sekeliling.Walaupun bukan dalam tugas seorang Fisio tapi sebagai tanggungjawab masyarakat.
Saya doakan kakak tersebut dalam keadaan yang baik. Sejak pulang dari Kemaman, memang dah tak ke sana lagi.Kebanyakan pesakit di Kemaman sering berhubung hingga saya tinggalkan Bumi Malaysia. Ya ALLAH, hanya KAU sajalah yang tahu betapa saya merindui Malaysia, rindu bau-bau hospital di Malaysia.
Berada di hospital, di kelilingi insan-insan yang sakit buat saya rasa sangat bersyukur dikurniakan nikmat sihat yang ALLAH beri.
Ya ALLAH berikan kekuatan dalam setiap pekerjaanku. Buat minda-minda manusia, Fisio bukan Tukang Urut, tapi kami juga beri sumbangan dalam menyembuh dan membantu yang sakit.
sedikit pemahaman tentang pekerjaan fisio
Nota : Struktur ayat dan cerita yang tidak teratur, perlu tidur untuk permulaan hari yang cemerlang.
Jantung hatiku : Ya ALLAH, Kau panjangkan umur ibu bapaku, kakak-kakak, abang-abangku serta anak-anak saudaraku. Jangan Kau ambil nyawa mereka yang aku sayang sebelum nyawaku. Amin...
0 comments:
Post a Comment